Wednesday, September 2, 2009

"Tok Janggut : Hingga Titisan Darah Terakhir"

Kita sering melaungkan bangganya kita menjadi rakyat Malaysia dan betapa cintanya kita kepada tanah air ini tapi setakat manakah cinta kita itu..... Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Dato' Maharaja lela, Dol Said, Mat Kilau, Dato Bahaman dan ramai lagi telah bangkit menentang kuasa luar yang begitu rakus mahu mengeksploitasi hasil bumi kita.....
Tapi kita???? Tepuk dada, tanya hati masing-masing....

Bila bermadu kasih... " lautan api sanggup kurenangi agar kita dapat bersama"!!!!!
Bila cintakan negara... "lautan musuh sanggup kutempuhi agar negaraku sejahtera"?????

Perjuangan pejuang silam begitu menyentuh kalbu bila sanggup mengenepikan segala kepentingan diri asalkan agama, bangsa dan negara dapat ditonggakkan. Tidak dapat dinafikan semua orang sayang dan cinta akan negaranya sebab di sinilah dia dilahir dan dibesarkan tetapi sejauhmanakah sayang dan cinta itu??? Sanggupkah mengenepikan kepentingan sendiri????

Terlihat dan terbaca tentang sejarah perjuangan Tok Janggut membuatkan diri terasa sayu. Mengenangkan perjuangan Tok Janggut mendatangkan keinsafan yang mendalam

Tok Janggut : "Jasamu tidak dapat dibalas dengan harta yang ada di dunia ini".....






Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan Panglima Munas itu cuba dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’. Inggeris benar-benar mahu memburukkan nama baik pejuang kebebasan itu berikutan kesan dan pengaruh Tok Janggut yang bukan kecil. Pada mereka jika tindakan Tok Janggut tidak disekat, maruah sebagai kuasa dunia dan bangsa yang ‘pintar’ akan terjejas. Mereka mengambil keputusan membunuh Tok Janggut. Apabila tokoh yang juga ulama itu meninggal, mereka sedar ‘aura perjuangan’ Mat Hassan juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan peristiwa itu berulang.
Seterusnya mereka melancarkan perang saraf memburukkan Tok Janggut dan pengikutnya, dengan harapan generasi mendatang menganggap lelaki itu dan kumpulannya penderhaka dan pengkhianat bangsa dan negara. Umpama menyelimuti gajah dengan sapu tangan, usaha itu tidak berhasil kerana masyarakat masih menyanjung sumbangan Tok Janggut berserta sahabat dan pengikutnya terhadap negara. Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal disanjung sehingga kini.

Pengorbanan Tok Janggut jangan kita persiakan tetapi dijadikan semangat untuk melangkah ke hadapan dan membina sebuah negara yang kuat dan tahu asal usul kesenangan yang diperolehinya hari ini adalah daripada pengorbanan orang lain.

TOK JANGGUT
kuharung sungai kususur bukit tujuh gua yang silam
aku murba perkasa kautuduh penderhaka celaka
aku tidak pandai berselindung dengan tembang dan senandung
suaraku tak mungkin semerdu seruling
aku tak rela tanah darahku diinjak dijajah
aku tak rela hasil bumiku dicantas dipulas
aku tak rela Melayu bangsaku dipandirkadukkan
aku tak rela Islam agamaku disendatemehkan
Tok Janggut Haji Mat Hassan namaku
tujuh lapis langit terpikul di bahuk
tujuh lapis bumi tercengkam di kaki
aku pulang dari tanah Makkah yang putih dan suci
ingin kulihat tanah darahku tanpa penjajah
kubaca Jamaluddin Al-Afghani, kuhafal reformis Muhammad Abduh
dan kugenggam ideologi Rashid Redha
Tok Janggut Haji Mat Hassan namaku
anak Kelantan kelahiran Pasir Putih
Kampung Saring mahupun Jeram
adalah padang permainanku
adalah gelanggang silat
tempat aku memperlimaukan diri
aku pulang dengan siap sedia asal mula
sebagai lelaki anak jantan perkasa
aku siap sedia menitiskan darah ke ranting cempaka
ini tanah darahku, tak akan kurela kaukikis habis
kuoleng mangkuk mimpi para tiran
inilah nafasku angin bergugus menyebarkan tandus
dan, nah! darah matahariku akan terpercik ke tanah Pasir Putih
ringkik angin topan, sedialah kau
akan kuamuk kegetus kantung nyawaku
kalaupun aku mati di tangan bangsaku
aku mati sebagai pembela sejati
mutiara tetap mutiara
meskipun terpendam
di perut tiram
jauh pada dasar lautan!



Oleh: Rahimidin Zahari








Bingkisan Sejarah "Hari ini Dalam Sejarah"

Pada hari ini 02.09.1957 tepat pada jam 10 pagi dengan diiringi oleh tembakan meriam sebanyak 21 das dan paluan nobat serta gendang perang selama kira-kira 15 minit, DYMM Seri Paduka Tuanku Sir Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah ditabalkan dengan rasminya sebagai Yang di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu yang pertama.
Istiadat pertabalan yang gilang-gemilang dan memakan masa kira-kira satu jam 15 minit di Balai Rong Seri Istana Negara itu telah dihadiri oleh lebih dari 500 orang jemputan utama dan khas, termasuk raja-raja Melayu Persekutuan Tanah Melayu dan Sultan Brunei, Gabenor Melaka dan Pulau Pinang, Perdana Menteri, Tuanku Abdul Rahman dan para Menteri Kabinet, tetamu-tetamu istimewa dari dalam dan luar negeri termasuk Duke of Gloucester yang mewakili Baginda Queen.
Istiadat pertabalan itu telah dimulakan dengan keberangkatan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dengan diiringi oleh Datuk Paduka Maharajalela Tuan Haji Mustapha Albakri, juruiring-juruiring dan panglima-panglima Baginda. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja Permaisuri Agong yang memakai pakaian rasmi berwarna hijau muda disulam dengan benang mas telah diiringi hingga ke singahsana tempat bersemayam. Surat perisytiharan pertabalan Yang di-Pertuan Agong telah dibaca oleh Tuan Haji Mustapha Albakri, Datuk Paduka Maharajalela yang juga menjadi Penyimpan Mohor Raja-raja Melayu Persekutuan Tanah Melayu.

Tuesday, September 1, 2009

"Fadilat Ramadan"

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya:
"Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Bulan Ramadan sesungguhnya adalah bulan yang mulia yang sentiasa dinantikan oleh umat Islam. Berebut-rebutlah mencari peluang melakukan pahala selagi ada masa. Jangan kita lalai dengan kerja hingga lupa tentang tujuan kita di muka bumi Allah ini....
"Selamat menunaikan ibadah puasa"